Negeri 5 Menara

on Friday, June 24, 2011

Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum warahmatullah..

Subhanallah, satu lagi novel inspirasi dari Indonesia.

Menjadi diri seperti yang kita mahukan adalah tidak mudah. Seringkali manusia itu tidak bersyukur apa yang mereka ada. Mereka merasakan bahawa mereka perlu 'hidup baru'. Melihat hidup orang lain lebih gembira pada pandangan mata. Namun, apabila menjengah kehidupan yang kita impikan itu, pasti akan merindukan kehidupan sebelumnya.

Pernah saya merasakan bahawa sangat mustahil untuk kita menjadikan diri kita seperti yang kita inginkan. Menukar lakaran mimpi kepada realiti. Tetapi, tidak mustahil sebenarnya. Selepas membaca kisah Alif Fikri yang berjaya merealitikan hampir semua cita-citanya di zaman kecil menjadikan saya merasakan perlu optimis, yakin, berusaha dan meletakkan peregantungan yang sepenuhnya kepada Allah untuk mencapai cita-cita.

Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas saya baru menghabiskan novel Negeri 5 Menara karya A.Fuadi. Kesuluruhan dari novel Negeri 5 Menara, bagi saya sebuah novel yang begitu mengasyikkan, dengan gaya bahasa yang mengandungi unsur humor. Sebuah kisah benar yang sangat menyentuh hati dalam setiap moment yang dikongsi.

Novel ini adalah kisah hidup penulisnya sendiri yang mana watak utama yang menggambarkan dirinya dinamakan Alif Fikri. Keseluruhan cerita adalah kisah kehidupan penulis dan teman-temannya ketika belajar di Pondok Madani (PM) selama hampir empat tahun.

A.Fuadi, penulis novel Negeri 5 Menara

Di sini beberapa ibrah yang saya rasakan amat bermakna dari novel ini untuk dikongsikan bersama:

1) Man jadda wajada. Setiap orang berusaha itu pasti ada kejayaan menantinya. Tidak sekarang mungkin pada masa hadapan. Jadi jangan pernah berhenti berusaha dan berdoa. Kerana mustahil Allah tidak mendengar setiap mimpi dan cita-cita kita. Konsep inilah yang dipegang oleh Alif Fikri (watak utama) sehinggakan dia berjaya mencapai cita-citanya.

2) Setiap saat dalam hidup kita akan jadi indah sekiranya kita mengambil pengajaran dalam setiap apa yang berlaku. Jadi, jangan pernah merungut untuk setiap apa yang berlaku dalam hidup, musibah, kegagalan semua itu telah tercatat seribu satu pengalaman. Kerana Allah mahu memberi ibrah melalui khibrah hidup kita.

3) Persahabatan akan menjadi kekutan dan tarbiyah buat diri selagi mana persahabatan itu berlandaskan keimanan. Tersentuh hati membaca kisah persahabatan Sahibul Menara (Alif Fikra dan sahabt-sahabatnya). Sama-sama melakar mimpi di bawah menara dan mengejar mimpi itu. Kerana persahabatan mereka kerana Allah, seorang lemah yang lain menjadi kekuatan buat yang gagal.

4) "Ikhlas ya akh". Ayat ini seringkali diungkap di Pondok Madani (PM). Walau seletih mana, sesedih mana, sebenci mana, namun bila ada yang menasihati dengan ayat ini seperti ais yang sejuk mengalir menyejuk hati yang tidak keruan. Selagi mana kita ikhlas, Allah akan sentiasa bersama kita. Innallahama'ana.. Ikhlas ya.

5) Jangan pernah takut pada apa dan siapapun, takutlah pada Allah. Dan hatinya bertakbir "Allahuakbar", motivasi Alif Fikri (watak utama) ketika gementar dan takut sebelum memulakan pidatonya.

6) Optimisme itu kunci keikhlasan. Setiap kata-kata optimis itulah akan membuahkan keikhlasan.

Dan banyak lagi ibrah yang boleh diambil dari novel ini. Selain itu, saya sangat mengagumi sistem pendidikan di Pondok Madani. Di mana bukan sangat menitikberatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Arab dan pidato. Pelajar-pelajar pula diberi kebebasan untuk aktif dalam apa jua bidang di Pondok Madani namun disiplin amat dititikberatkan.